Pengarah Urusan syarikat, Jeevah Nadraj berkata, lokasi yang di­intai syarikat ialah di Mont Kiara, Bangsar dan Bukit Bintang dengan pelaburan kira-kira RM450,000 untuk setiap cawangan.

Menurutnya, melalui pembukaan spa tersebut, pelbagai barangan keluaran Spa Ceylon yang dijual di lima rangkaiannya di sekitar Lembah Klang boleh diguna pakai untuk pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di spa berkenaan.

“Kami mahu memastikan harga perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berada pada kadar mampu milik agar semua orang dapat berkunjung ke spa kami demi meningkatkan kualiti kesihatan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pengenalan produk dan cawa­ngan syarikat di pusat beli-belah Nu Sentral di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Jenama Komunikasi syarikat, Isvari Nadaraju.

Jeevah sebelum ini begitu berminat untuk mencari produk penjagaan kecantikan diri dan kesihatan ber­asaskan semula jadi yang berkualiti di seluruh dunia dengan menghadiri mana-mana pameran atau persida­ngan berkaitan kecantikan.

Menurutnya, selama 10 tahun pencarian tersebut sehinggalah beliau ditemukan dengan produk Spa Ceylon dalam satu pameran produk kecantikan di Jakarta, Indonesia.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, beliau terus berkunjung ke ibu pejabat Spa Ceylon di Sri Lanka dan membuat pelbagai kajian, lawatan dan perbincangan untuk membawa jenama tersebut ke Malaysia.

“Saya bertuah kerana menjadi usahawan pertama yang membawa jenama tersebut keluar dari Sri Lanka­ dan mendapat kebenaran untuk memasarkannya di Malaysia melalui beberapa garis panduan yang dipersetujui.

Kini, Spa Ceylon telah beroperasi untuk tahun ke empat di Malaysia dan memiliki lima cawangan di lo­kasi strategik iaitu di pusat beli-­belah Nu Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Publika dan Mid Valley.

Barangan yang dijual meliputi penjagaan kesihatan daripada hujung rambut hingga ke hujung jari kaki yang ditawarkan pada harga RM33 hingga RM400 seunit, yang mana ia bersesuaian untuk lelaki dan perempuan berumur seawal remaja.

“Produk berkaitan penjagaan ke­sihatan rambut, produk membantu mengurangkan masalah tidur dan juga mengurangkan tekanan merupakan antara yang popular dalam kalangan pelanggan kami,” jelasnya.