Pengasas Bersama Sooru Technologies Sdn. Bhd., Erwan Taher berkata, aplikasi berkenaan yang bakal dilancarkan pada Februari depan menyasarkan penyertaan suri rumah yang berminat untuk menceburi perniagaan penyediaan makanan selain restoran.

Jelasnya, tiada sebarang yuran dikenakan untuk turut serta dalam ekosistem Sooru, memudahkan pengusaha untuk masuk atau keluar daripada perniagaan berkenaan sekiranya mendapati diri mereka tidak mampu memberi komitmen atau tidak lagi berminat.

“Kami sedar ramai yang ingin menambah pendapatan dalam suasana ekonomi sekarang dan bidang penyediaan makanan menyediakan peluang besar berdasarkan gaya hidup masyarakat kini.

“Mungkin tidak ramai yang mampu membuka kedai makan atau gerai sendiri namun kebanyakan rumah pasti memiliki dapur untuk memasak.

“Aplikasi Sooru ini membolehkan orang ramai menceburi bidang makanan dan minuman tanpa perlu keluar dari kediaman sendiri,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Erwan, selain penyedia makanan, pihaknya juga sedang giat merekrut penunggang motosikal untuk melakukan penghantaran makanan dan ia boleh dilakukan secara sambilan mengikut kelapangan masa peserta.

Jelasnya, Sooru memerlukan penyertaan sekitar 100 buah restoran dan pengusaha makanan menjelang pelancaran selain 100 orang penunggang untuk melakukan perkhidmatan penghantaran.

“Buat permulaan, kami menyasarkan bandar-bandar utama di Semenanjung seperti kawasan Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Kami turut mencari rakan niaga untuk memperkembangkan dan menguruskan perniagaan ini,” jelasnya yang berpangkalan di Nilai, Negeri Sembilan.

Aplikasi Sooru - Food Delivary dan Sooru Rider kini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

Erwan menjelaskan aplikasi berkenaan akan turut hadir di App Store untuk kegunaan pengguna iPhone dalam jangka masa terdekat.