Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said berkata, berdasarkan laporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2018, sebanyak 151 program pembangunan PKS telah dirancang yang dijangka bakal memberi manfaat kepada 613,576 PKS.

“Di bawah Ranca­ngan Malaysia Ke-11, beberapa inisiatif utama seperti pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dikenal pasti bagi menangani cabaran yang dihadapi sektor tersebut.

“Diharapkan peruntukan sebanyak RM7.12 bilion dalam Belanjawan 2019 untuk pelbagai inisiatif bagi menyokong usaha pendigitalan dan Industri 4.0 dapat membantu PKS dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran laporan Kertas Putih Pendigitalan PKS yang dibangunkan SME Corp dengan kerjasama Huawei Technologies Malaysia Sdn. Bhd. di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli.

Laporan berkenaan merupakan hasil dari tinjauan dari Mei hingga Jun lalu melibatkan 2,033 PKS daripada pelbagai saiz perniagaan dan sektor ekonomi.

Antara inti pati laporan tersebut ialah kira-kira 50 peratus daripada PKS di negara ini memiliki pemikiran digital dan membuat pelaburan dalam teknologi untuk pertumbuhan serta menggunakan teknologi untuk memperbaiki daya saing mereka.

Selain itu, didapati PKS yang menggunakan media sosial dan e-dagang menyaksikan pertumbuhan produktiviti antara 26 hingga 27 peratus.

Sementara itu, Mohd. Hatta menerangkan, kerajaan bakal mempertimbangkan cadangan dan hasil laporan berkenaan dalam pembangunan dasar serta program untuk membantu PKS.

“Ini termasuk cadangan penubuhan pusat inovasi untuk menarik penyertaan daripada pemain dan pembangun aplikasi,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 1.14 juta PKS yang mewakili 97.5 peratus daripada pertubuhan perniagaan di negara ini.