Ia akan diperkenalan menjelang suku pertama 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican (gambar) berkata, inisiatif di bawah skim HouzKEY bank berkenaan memperuntukkan RM1 bilion untuk pembiayaan 4,000 unit kediaman di kawasan seperti Bangi, Sungai Buloh dan Ampang bagi mereka yang layak.

Jelasnya, pembiayaan tersebut dibangunkan berasaskan konsep Ijarah iaitu skim patuh syariah yang menawarkan kadar sewa bulanan tetap selama 10 tahun kepada pelanggan.

“Di bawah program ini, pemohon kali pertama akan mendapat pembiayaan 100 peratus dan menyewa pada kadar sewaan bulanan yang rendah.

“Sebanyak 20 peratus daripada jumlah sewa akan disimpan sebagai deposit sekuriti dan akan dikembalikan kepada pelanggan pada akhir tempoh sewaan 10 tahun atau lebih awal apabila mereka menukar kepada pembiayaan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan bersama dengan kerajaan negeri Sela­ngor di sini semalam.

Menurut Mohamed Rafique, HouzKEY Maybank Islamic, yang dilancarkan pada Januari lalu, kini diperluaskan kepada rumah dalam lingkungan harga mampu milik.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik tidak melebihi harga RM250,000 seunit kepada pembeli rumah pertama.

“Skim HouzKEY Maybank Islamic menawarkan jalan alternatif kepada pemilikan rumah,“ katanya.

Program Sewa Milik Sela­ngorku terbuka kepada pembeli rumah pertama yang lahir atau menetap di Selangor selama lebih lima tahun atau pengundi berdaftar di negeri berkenaan.

Para pelanggan boleh melayari laman web www.maybank2own.com mulai minggu ini untuk mendaftar.