Pereka Fesyen Kreatif Siss On Bare, Intan Nadeera Zuhuri, 35, berkata, pelbagai rekaan baharu akan dipertontonkan kepada orang ramai bagi memeriahkan lagi minggu fesyen tersebut.

Katanya, dia sentiasa berani untuk menggunakan warna terang dan rekaan terkini untuk keluaran produk terbaharunya bersesuaian dengan suasana dan permintaan daripada peminat tempatan.

“Jenama Siss On Bare ‘lahir’ di Perth, Australia ketika saya menetap di sana selama sembilan tahun. Namun kini saya pulang ke Malaysia dan membuka kilang membuat pakaian di Ipoh, Perak sejak 2016.

“Permintaan di sini amat menggalakkan daripada peminat di Australia dan mereka begitu berminat dengan rekaan Siss On Bare kerana ia moden serta pilihan kain yang berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pelbagai pilihan pakaian direka merangkumi semua jantina, umur dan kaum selain ia boleh dipakai pada mana-mana situasi termasuk pejabat, majlis rasmi, santai dan lain-lain.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai fesyen melalui sebuah badan pemantau yang berpangkalan di Paris, Perancis bagi menghasilkan rekaan pakaian terkini dan pada musim akan datang.

“Selain di Ipoh, Siss On Bare ada empat cawangan di Lembah Klang dan kami bercadang untuk menambah butik di Johor Bahru dan Sabah pada tahun depan,” katanya. 

Orang ramai yang ingin melihat rekaan terbaharu Intan boleh melayari www.sobdesign.com.au untuk maklumat lanjut. - K! ONLINE