Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan (gambar) berkata, meskipun kadar dividen yang diumumkan bagi skim itu adalah sebanyak 6.4 peratus, sedikit rendah berbanding Simpanan Konvensional sebanyak 6.9 peratus, ia dilihat sebagai satu kadar yang mampan bagi skim yang pertama kali diperkenalkan itu.

“Sebelum ini, sejak Simpanan Shariah mula diperkenalkan pada tahun 2016, terdapat pencarum yang mengambil sikap tunggu dan lihat (untuk beralih kepada Simpanan Shariah) kerana mungkin kurang yakin terhadap prestasi dividen yang akan dicatatkan.

“Bagaimanapun, apabila kami mengumumkan kadar dividen pada Sabtu lepas, orang ramai mula memenuhi kaunter-kaunter KWSP di sekitar Pantai Timur pada keesokan harinya untuk menukar Simpanan Konvensional mereka kepada Simpanan Shariah.

“Ini merupakan salah satu bukti bahawa orang ramai mula yakin terhadap skim ini.

“Jika sambutan yang diterima menggalakkan, kami akan meningkatkan saiz peruntukan dana dari semasa ke semasa berbanding peruntukan permulaan sebanyak RM100 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena sesi taklimat media mengenai dividen KWSP bagi tahun 2017 di sini semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai perbezaan prestasi Simpanan Shariah dengan Simpanan Konvensional, Shahril Ridza berkata, ia tidak dilaburkan dalam pelaburan konvensional terutamanya perbankan konvensional kerana terdapat unsur-unsur yang tidak patuh syariah.

“Misalnya, terdapat banyak syarikat perbankan bersaiz besar di Malaysia yang disenaraikan di Bursa Saham, namun hanya satu yang merupakan bank Islam sepenuhnya, atau patuh syariah.

“Disebabkan itu, pendedahan pelaburan bagi Simpanan Shariah agak terhad dalam sektor perbankan, yang mana telah memberikan pulangan kukuh bagi segmen konvensional pada tahun lepas,” jelasnya.

Selain itu, tambahnya, prestasi yang sedikit rendah bagi pelaburan syariah pada tahun lepas turut disebabkan oleh kelembapan dalam sektor minyak dan gas serta telekomunikasi mudah alih.

“Bagaimanapun, di sebalik kelembapan tersebut, ia masih berupaya memberikan pulangan dividen 6.4 peratus, dan ini merupakan suatu prestasi yang menggalakkan,” ujarnya

Bagi tahun 2017, KWSP mengumumkan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM3.98 bilion bagi Simpanan Shariah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM48.13 bilion, meningkat 29.8 peratus berbanding 2016.

Simpanan Shariah

Diperkenalkan pada 8 Ogos 2016 sebagai satu pilihan kepada pencarum yang mahu bertukar daripada simpanan konvensional kepada simpanan yang diurus serta dilabur mengikut prinsip syariah

Diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah

Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih Simpanan Shariah

Simpanan Shariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah

Hanya dilabur dalam saham-saham patuh syariah

Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh syariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP

Pencarum yang telah memilih Simpanan Shariah tidak boleh membatalkan pilihannya selepas tarikh kuat kuasa dan kembali ke Simpanan Konvensional.