Menerusi platform dto, mereka yang berusia 21 tahun ke atas boleh memilih sebahagian daripada ciri-ciri projek kediaman yang bakal dibangunkan Sime Darby seperti warna bangunan, kemasan lantai, mangkuk tandas, reka bentuk sinki sehinggalah kepada jenis tombol pintu.

Ia turut melibatkan ruang yang bakal dikongsi secara bersama oleh pemilik kediaman seperti reka bentuk taman permainan, gimnasium, ruang kerja bersama dan dewan serba guna.

Suara majoriti di platform berkenaan akan digunakan bagi menentukan ciri-ciri yang akan dipakai bagi projek tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, buat masa ini terdapat tiga projek syarikat yang melibatkan platform dto iaitu projek kediaman bertingkat di Subang Jaya yang bakal dilancarkan Ogos depan, kediaman bertingkat di Putra Heights, dijangka dilancarkan pada 2020 dan satu projek kediaman bertanah.

Jelasnya, menerusi platform dto, pihaknya dapat mengetahui dan memenuhi permintaan serta kehendak pasaran, sete­rusnya meningkatkan jualan projek kediamannya.

“Platform ini juga memperkasakan pengguna. Apabila kami menawarkan produk di pasaran, ia bukan sekadar produk Sime Darby tetapi juga produk pengguna yang telah terlibat sama dalam menentukan ciri-ciri dan reka bentuknya sejak awal.

“Bagi syarikat, ini merupakan cara kami menuju ke hadapan dan kami percaya kadar pengambilan kediaman kami yang terlibat dalam platform dto ini akan menjadi lebih baik berbanding projek sebelum ini,” katanya pada majlis pelancaran dto di Galeri Jualan SJCC di sini semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby, Gerard Yuen.

Sementara itu, Gerard menjelaskan, dana permulaan untuk platform dto adalah sebanyak RM3 juta.

“Respons daripada pengguna setakat ini adalah sangat menggalakkan dan sejak dto mula-mula digunakan untuk projek kami di Subang Jaya pada Januari lalu, seramai 3,000 pengguna telah melibatkan diri sedangkan kami hanya menawarkan lebih 200 unit.

“Kami berharap peserta lain yang terlibat akan menjadi pe­langgan kami pada kemudian hari,” katanya.