Pengurus Besar Negara, Eddy Han berkata, pesta beli-belah secara online edisi kedua yang dikenali sebagai ShopFest itu akan membabitkan enam acara utama jualan yang akan berlangsung dari bulan September hingga Di­sember.

Acara tersebut ialah 9.9, #MYCyberSale, 11.11, Black Friday, 12.12 dan Jualan Akhir Tahun.

“Sepanjang ShopFest 2018, terdapat tiga kategori yang melibatkan kategori pasaran, fesyen dan perjalanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Eddy menerangkan, segmen pasaran, termasuk platform e-dagang se­perti Lazada dan Shopee telah mencatatkan 10 juta transaksi sepanjang ShopFest 2018, manakala segmen fesyen­ serta perjalanan masing-masing menyaksikan sejuta barangan dijual dan 1.4 juta bilik ditempah.

“Malaysia antara negara penyumbang utama dalam kalangan tujuh negara (tempat kami beroperasi),” jelasnya.

Eddy menerangkan, berdasarkan kaji selidik ShopBack, 90 peratus daripada 1,200 responden menyatakan hasrat mereka untuk membuat pembelian semasa jualan secara online akhir tahun, seperti fesyen, kecantikan dan makanan tambahan, serta rumah serta kehidupan merupakan tiga kategori utama pilihan mereka.