Ketua Bahagian Syariah Bank Islam, Nazri Chik berkata, masih ramai yang bertindak mewakaf harta benda tanpa melalui pihak berautoriti, sehingga akhirnya aset wakaf itu ‘hilang’ begitu sahaja.

“Masyarakat di Malaysia melakukan wakaf sejak dahulu lagi, cuma ada beberapa kekurangan antaranya ialah wakaf tidak diberikan kepada pihak sepatutnya.

“Sekiranya tidak diuruskan oleh autoriti yang betul, aset wakaf boleh hilang di tengah jalan,” katanya kepada Bernama di Karnival Kewangan Terengganu 2019 di sini semalam.

Beliau yang menjadi panel dalam program bicara bertajuk ‘Kepentingan Wakaf’ berkata, masyarakat perlu mengubah pemahaman terhadap peranan wakaf supaya ia lebih menyeluruh serta mampu dimanfaatkan oleh semua pihak.

Tambahnya, banyak pihak berpendapat wakaf hanyalah dalam dalam bentuk tanah dan bangunan sedangkan ia turut melibatkan pemberian wang tunai.

“Masyarakat masih berwakaf dalam cara tradisi seperti tanah untuk dibuat kubur, masjid dan sekolah. Sebenarnya masyarakat boleh membudayakan (pemberian wang tunai) sekalipun RM10 untuk wakaf," katanya.

Karnival tiga hari anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sokongan lebih 45 institusi kewangan dan agensi kerajaan itu berakhir Sabtu ini.