Pengarah Pemasaran Proton Edar Sdn. Bhd., Cheng Seng Fook berkata, model Exora dengan ciri dipertingkatkan tersebut dijangka membuat penampilan sulung di pasaran kira-kira dua ming­gu lagi.

Menurut beliau, selain Exora pihaknya juga akan memperkenalkan model Saga yang ditambah baik menjelang suku ketiga tahun ini.

“Kedua-dua kereta itu akan menerima sentuhan mantap khususnya selepas Proton memulakan kerjasama dengan Geely pada tahun 2017.

“Kami tidak boleh dedahkan secara terpe­rinci ciri-ciri yang ditambah baik ke atas dua model terbaharu ini, namun apa yang boleh dikatakan kedua-duanya akan dipertingkatkan de­ngan unit maklumat hibur (infotainment) seperti didatangkan pada X70, Iriz dan Persona baharu.

“Syarikat yakin pengenalan model baharu berkenaan akan mendapat sambutan yang baik da­ripada orang ramai khususnya yang meminati kende­raan kelua­ran Proton,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui sempena Pemanduan Eksklusif Media Intelligence Drive 2019 bagi model Iriz dan Pesona baharu di Terengganu baru-baru ini.

Sementara itu, Seng Fook menjelaskan, Proton optimis untuk mengekalkan momentum jualan yang cemerlang sepanjang tahun ini selepas syarikat mencatatkan kenaikan seba­nyak 14.1 peratus pada April berbanding bulan lalu selain peningkatan 75 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Keyakinan ini disokong oleh model-model terbaik yang diperkenalkan seperti Iriz dan Persona baharu selain bakal dipacu dengan jentera terkini yang diper­tingkatkan termasuk Exora dan Saga.

“Syarikat juga bakal menyaksikan peningkatan dalam jumlah jualan industri menjelang separuh pertama tahun ini kerana lazimnya kita akan melihat kenaikan jualan pada bulan puasa dan hari raya.

“Justeru, Proton optimis untuk terus merekodkan prestasi yang lebih baik pada masa hadapan,” jelasnya.

Terdahulu, angka jualan pada April lalu kembali meletakkan Proton pada kedudukan kedua keseluruhan selepas kali terakhir pencapaian seumpamanya dilakar lebih tiga tahun lalu.