Sebelum mendapatkan tekstur rasanya yang sempurna, Ahmad Tamin Abdullah, 34, dan Che Azmawi Che Seman, 40, terpaksa menghabiskan 10 kilogram daging dalam ‘uji kaji’ mereka.

Selepas berpuas hati dengan rasa yang diingini mereka memulakan perniagaan Satay Limau Purut dengan menyewa tapak di Restoran Che Ana, Jalan Sultan Yahya Petra di sini sejak tiga minggu lalu.

Ahmad Tamin berkata, buat permulaan dia menjual sate ayam dan daging lembu dengan harga masing-masing 90 sen dan RM1 secucuk buat masa ini.

“Keistimewaan sate kami ini ialah rasa dan aroma limau purutnya. Kebanyakkan pelanggan yang mencuba buat kali pertama pasti akan kembali untuk membeli lagi.

“Semua yang mencuba akan memberi maklum balas positif. Sate dengan rasa limau purut itu adalah kali pertama mereka cuba dan berbeza dengan sate-sate lain sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, selepas ini dia akan menambah menu itik serati dan kambing berikutan mendapat permintaan daripada pelanggan.

“Saya cuma boleh katakan ini adalah sate pertama di Malaysia yang mempunyai rasa limau purut. Malah pada Hari Raya Aidiladha yang lalu kita menerima tempahan sehingga 25,000 cucuk sate dari seluruh Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Che Azmawi berkata, resepi tersebut diperolehi daripada ibunya, Sasiah Che Omar, 62, sebelum diolah oleh isterinya dengan resepi rahsia sehingga menjadi pes untuk perapan.

“Kami melakukan banyak kali olahan bagi menghilangkan rasa pahit limau purut tersebut. Kita habiskan 10 kilogram daging ayam untuk dapatkan hasil terbaik dalam tempoh sebulan.

“Perbezaannya dengan satay biasa, bila kita gigit aroma limau purut itu naik dengan rasa segar serta tidak terlalu masam. Malah pelanggan kami mampu habiskan 10 cucuk seorang kerana tidak muak,” katanya.

Katanya, daging itu akan diperap dalam pes bagi rasanya meresap sebelum dibakar dan sedia dimakan.

“Kami menerima tempahan menjual sate sejuk beku. Selain menjual sate di Restoran Che Ana, Satay Limau Purut turut menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dengan minimum 20 cucuk di sekitar Kota Bharu,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Satay Limau Purut di talian 017-4599 556. - K! ONLINE