Ketua Pegawai Eksekutif Senior, David Squires berkata, pembukaan Senior Aerospace Subang di sini, iaitu kilang pemasangan dan pengeluaran komponen industri aeroangkasa seluas 16,723 meter persegi akan turut mempercepatkan proses pembuatan sehingga 40 peratus.

Menurutnya, kemudahan terbaharu itu dilihat akan membantu melancarkan lagi operasi di Senior Aeropace UPECA, Shah Alam memandangkan kemudahan sedia ada itu sentiasa sibuk.

“Sebaik sahaja kilang baharu ini beroperasi, kami menyasarkan kemampuan untuk menghasilkan sekitar 60,000 keping komponen aeroangkasa sebulan yang terdiri daripada 11,000 jenis komponen struktur untuk pelbagai bahagian pesawat Boeing dan Airbus.

“Apabila kedua-dua kemudahan itu beroperasi dengan lancar, kami jangka dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya 100,000 keping komponen ae­roangkasa sebulan secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kilang tersebut di sini semalam.

Jelasnya, setiap komponen akan mengambil masa antara empat hingga 10 minggu untuk dihasilkan bergantung kepada tahap kerumitan bahagian tersebut.

Turut hadir Pengerusi Senior, Ian King; Ketua Pegawai Eksekutif Senior Aerospace UPECA, Kavan Jeet Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif Axis Reit Manager Bhd., Leong Kit May.

Tambah Squires, pembukaan kemudahan itu akan meningkatkan lagi keupayaan Senior terutamanya di Kuala Lumpur serta menyokong pelan perancangan lima tahun syarikat.

“Ia juga akan membuka peluang pekerjaan kepada 300 hingga 350 orang dalam pelbagai bidang selepas mula beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

“Dengan adanya kemudahan untuk menjalankan perniagaan, penyediaan infrastruktur penting dan akses kepada bakat pekerja yang berpendidikan, ternyata Malaysia mampu menawarkan industri yang mesra perniagaan dan kos yang kompetitif,” ujarnya.