Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan MSM yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara, menyaksikan penurunan harga kira-kira 20 peratus setakat ini tahun ini berikutan asasnya yang lemah, terutama disebabkan tahap inventorinya menghampiri paras tiga juta tan.

Minyak masak lain seperti kacang soya, minyak sesawi dan bunga matahari turut mengalami corak yang sama sekali gus menghasilkan inventori yang lebih tinggi bagi MSM Malaysia sedangkan kedudukan permintaannya lebih rendah.

Ia terus menekan harga MSM untuk mencecah kurang daripada RM2,000 setan pada November, tahap terendah dalam tempoh lima tahun.

Veteran perladangan, M. R. Chandran yang mengakui hakikat itu berkata, pasaran komo­diti di seluruh dunia mengalami kemelesetan pada 2018.

“China dan India, pengguna minyak sawit terbesar di dunia, memperlahan pembelian mereka kerana pengeluaran tanaman mereka lebih baik,” katanya.

Sementara itu, MPOB menyatakan bahawa inventori tiga juta tan yang dicatatkan pada November merupakan paras simpanan tertinggi dalam tempoh hampir dua dekad dan angka itu dijangkakan terus meningkat.

Pada bulan itu, harga MSM mengalami kejatuhan terbesar dalam tempoh lebih 21 bulan selepas Indonesia turut mengumumkan langkah untuk meningkatkan eksport.

Republik itu yang merupakan pengeluar MSM terbesar dunia, memansuhkan sementara levi eksportnya bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya.

Harga MSM bagaimanapun dijangka menyederhana kepada RM2,300 setan pada 2019 berbanding RM2,100 tahun ini, berikutan asas yang lebih baik disebabkan permintaan lebih tinggi di tengah-tengah pengeluaran yang lebih rendah.

“Pada RM2,300 setan, sokongan belian untuk MSM tahun depan dijangkakan daripada Indonesia, yang mempunyai bilangan penduduk seramai 264 juta orang.

“Ini terutama disebabkan mandat kerajaan untuk menggunakan MSM dalam program B20 dalam industri automotif, di samping menggunakan komoditi untuk produk makanan,” kata peniaga.

B20 ialah campuran 20 peratus biodiesel dan 80 peratus diesel petroleum.

Sejak 1 September 2018, semua kenderaan dan jentera berat de­ngan enjin diesel di republik itu perlu menggunakan bahan api itu dalam usaha membantu kerajaan menyelamatkan berbilion ringgit dalam import diesel.

Dengan ini, tidak ada keraguan bahawa menjelang 2019, Indonesia boleh menjadi pengguna minyak sawit terbesar di dunia, mengatasi China sementara India akan mengambil tempat kedua.

“Kita boleh menjangkakan bahawa faktor ini, selain kesan musim tengkujuh pada Disember akan membantu mengurangkan simpanan dan menaikkan harga,” kata peniaga itu.

Harga juga akan disokong oleh permintaan daripada India mulai Januari tahun depan dengan pengurangan duti import ke atas MSM Malaysia kepada 40 peratus daripada 44 peratus, dan 45 peratus daripada 54 peratus ke atas minyak kelapa sawit bertapis pada akhir Disember.

– Bernama