Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, setakat ini sebanyak 80 peratus tiket penerbangan telah ditempah ejen pelancongan dari Korea Selatan untuk ke negeri itu.

“Sebagai permulaan, sebanyak dua penerbangan pergi-balik dalam tempoh seminggu telah ditetapkan, namun mulai Mac 2018, kadar penerbangan ditambah kepada empat kali seminggu.

“Perkhidmatan penerbangan berjadual pertama yang menghubungkan Johor dengan Korea Selatan ini diper­kenalkan ekoran peningkatan statistik pelancong asing ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Penumpang Ke-3 Juta Tahun 2017 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dekat sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., Md. Derick Basir dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Abdul Malik Ismail.

Siew Kiong berkata, perkhidmatan penerbangan itu memberikan warga Korea Selatan satu lagi pilihan ke Malaysia, di samping menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor dan Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Pengenalan perkhidmatan sewa khas ini tepat pada masanya susulan peningkatan pelancong dan pelabur asing ke negeri ini.

“Diharapkan pengusaha dan penggiat industri terus bekerjasama untuk mengambil kesempatan terhadap peluang yang wujud ekoran pengenalan penerbangan ini dalam usaha me­rancakkan sektor berkaitan,” katanya.