Ketua Pegawai Eksekutif Infinitium Holdings Sdn. Bhd. (Infinitium), Ho Ching Wee berkata, ia bersandarkan kepada akses meluas kemudahan telefon pintar yang dilengkapi keupayaan pengesahan biometrik.
“Kita menjangkakan dalam tempoh dua tahun akan datang, Malaysia mampu memperoleh manfaat biometrik secara menyeluruh dan tidak lagi bergantung kepada kaedah lama seperti kata laluan sekali (OTP) untuk pengesahan pembayaran.
“Teknologi penentusahan biometrik ini mampu memberi jaminan keselamatan data pengguna, selain memudahkan dan melancarkan transaksi pembayaran yang dilakukan secara elektronik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Meritus @ Oasis Corporate Park dekat sini baru-baru ini.
Infinitium merupakan syarikat penyedia penyelesaian penentusahan dan pembayaran elektronik dalam talian terkemuka di Asia.
Menurut Ching Wee, pertumbuhan pembayaran digital di Malaysia menunjukkan peningkatan 30 peratus dari tahun ke tahun, sekali gus membuktikan penerimaan menggalakkan pengguna segenap usia.
“Justeru, kita perlu menyediakan ekosistem yang mampan khususnya dari segi keselamatan penentusahan bagi meningkatkan persekitaran positif dalam industri pembayaran digital ini.
“Selain pengguna, institusi kewangan turut dapat memanfaatkan biometrik dalam penentusahan pelbagai faktor untuk proses pengesahan identiti yang lebih pantas dan selamat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, Infinitium bakal memperkenalkan kaedah penyelesaian biometrik terbaharu bagi industri pembayaran di Malaysia selepas pelaksanaan projek perintisnya pada suku pertama tahun hadapan.
“Pembangunan bagi penyelesaian ini sudah di peringkat akhir sebelum projek awal dijalankan dengan melibatkan empat buah institusi perbankan di Malaysia dan Indonesia.
“Infinitium menjangkakan kaedah biometrik ini dapat menarik minat banyak syarikat berkaitan untuk mengguna teknologi ini.
“Inovasi ini selari dengan hala tuju penyedia perkhidmatan kewangan ke arah model pembayaran biometrik dalam tempoh dua tahun akan datang,” jelasnya.