Pengerusi jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, syarikat penerbangan negara jiran itu memilih Kuantan sebagai destinasi pilihan kerana negeri ini memiliki pelbagai tarikan pelancongan untuk dilawati sama ada pelancong Singapura mahupun antarabangsa.

"Kami amat mengalu-alukan syarikat penerbangan Scoot yang mengambil pendekatan untuk membuka laluan baharu dari Singapura ke Kuantan sebagai pintu masuk ke negeri Pahang yang memiliki keindahan hutan dan pantai.

"Keyakinan mereka untuk melancarkan laluan ini difahamkan antaranya adalah disebabkan pergerakan 241,000 orang penumpang yang dicatat di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan sehingga Disember tahun lalu.

"Kami gembira kerana laluan baharu ini secara langsung memberi manfaat kepada industri pelancongan Pahang sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Scoot ke negeri Pahang di sini hari ini. - Bernama