Pengarah Urusan SC Estate, Loh Boon Ginn berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan selama 10 tahun, yang mana setiap tahun, syarikat akan mengagihkan sebanyak RM100,000 setiap tahun bermula 2020 hingga 2030.

“Sebagai syarikat korporat yang terbabit dalam industri pembinaan, pihak kami komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), terutamanya dalam inisiatif pendidikan untuk meningkatkan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SC Estate Builder dan YSB di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi YSB, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah.

SC Estate Builder merupakan syarikat pembinaan yang terlibat dalam mereka bentuk dan membina khususnya projek perumahan mampu milik, pembangunan projek infrastruktur dan hab pendidikan serta berkaitan industri pembinaan.

Dalam majlis sama, SC Estate World Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang saham kepada SC Estate Builder turut menyerahkan dua juta unit saham kepada YSB.

Sementara itu, Intan Safinaz bertitah, sumbangan berkenaan menjadi aset tambahan kepada YSB yang akan dicairkan pada masa yang bersesuaian.

“YSB merupakan sebuah pertubuhan yang bergiat aktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program meliputi pelbagai aspek dan peringkat umur.

“Sejak penubuhannya 23 tahun lalu, YSB sentiasa mementingkan pendidikan sebagai aspek pen­ting dalam kehidupan dan berjaya membiayai seramai 2,880 pelajar mendapat kelas tambahan percuma dengan pembiayaan sebanyak RM1 juta setahun menerusi Projek Titian Bistari.

“Projek ini akan diteruskan dengan memperkenalkan modul bersesuaian kepada pelajar sebagai persediaan kepada pembelajaran alaf baharu,” titahnya.