Berhasrat untuk merancakkan produk yang terdapat di pasaran sedia ada, syarikat bumiputera tempatan itu memperkenalkan minuman seisi keluarga berasaskan koko, Sawanah Koko khusus buat penggemar minuman berkhasiat.

Sawanah Koko mempunyai kan­dungan makanan yang berkhasiat se­perti koko, kurma dan madu selain rasa lemak daripada ekstrak barli. Kesemua bahan kandungan berkenaan mempunyai manfaat tinggi selain amat sesuai untuk diambil oleh pelbagai peringkat usia.

Muhamad Hirman menjelaskan, pihaknya sedia maklum sudah terdapat banyak minuman yang berasaskan koko dalam pasaran ketika ini. Namun sebagai usahawan Muslim bumiputera, beliau rasa bertanggungjawab untuk menghasilkannya sendiri sebagai satu pilihan kepada para pengguna.

Terang beliau, ketika ini pihaknya mengeluarkan Sawanah Koko dalam bentuk serbuk dan disediakan secara peket kecil (sachet), pek sekilogram dan papan terutamanya bagi memudahkan pengusaha kedai makan.

“Bahan utama produk kami ialah koko yagn dipilih istimewa dari Afrika yang mempunyai sifat alkali dan bermutu tinggi, di sebabkan itu, rasa manisnya adalah daripada gula nano tebu hitam.

“Ketika ini ramai kanak-kanak turut dilaporkan menghidap diabetes, kami lihat khasiat daripada produk ber­kenaan dapat mengawal kadar pengambilan gula. Sawanah Koko juga baik bagi membantu pencernaan kanak-kanak dan tidak menyebabkan sembelit seperti produk-produk lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kos­mo! ketika ditemui di pejabatnya di Taman Selaseh Fasa 1, Batu Caves di sini baru-baru ini.

Sawanah Wow sebelum ini dikenali sebagai Sawanah Marketing yang telah didaftarkan pada April 2006. Sawanah Koko merupakan produk pertama yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut pada November 2014.

Syarikat ketika ini mengeluarkan sebanyak 30,000 kotak Sawanah Koko dalam tempoh sebulan bagi menampung keperluan pengguna dan dalam usaha berterusan syarikat untuk men­yediakan alternatif minuman berasaskan koko dipasaran sedia ada.

Selain Sawanah Koko, syarikat ber­kenaan turut mengeluarkan Kopi 2 Tongkat iaitu gabungan bahan daripada pokok Tongkat Ali dan Tongkat Aji Samad selain produk Labana Susu Kambing yang diperkayakan dengan tujuh ramuan terbaik.

Menurut Muhamad Hirman, sebagai langkah untuk meningkatkan jualan syarikat, pihaknya bakal memperkenalkan dua produk baharu di bawah rangkaian Sawanah Wow iaitu minuman coklat premium, Sawanah Koko Gold dan minuman coklat yang dibotolkan dalam tempoh terdekat.

“Sawanah Koko Gold merupakan coklat premium yang mengandungi koko alkali gred A, susu awal lembu, bacopa, ginko, madu, kurma dan gula nano. Kami jangkakan untuk memper­kenalkannya dalam tempoh suku kedua ini.

“Bagi minuman coklat yang dibotolkan ia masih diperingkat kajian dan pembangunan, pengenalan ini bagi memberi kelainan dan pilihan lebih mudah tanpa perlu membancuh seperti produk serbuk ketika ini. Produk dibotolkan ini bakal dipasarkan separuh kedua tahun ini,” jelasnya.

Sawanah Wow kini mempunyai sebanyak 700 pengedar di seluruh negara yang mana majoritinya tertumpu di bahagian pusat seperti Selangor dan Kuala Lumpur. Jumlah tersebut akan dikekalkan ketika ini selain berhasrat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kepada mereka.

Syarikat turut membekalkan kepada pengedar pendedahan berkaitan kaedah pemasaran secara online dan langsung termasuk melengkapkan diri mereka dengan motivasi dan bahan-bahan untuk tujuan promosi kesemua produk Sawanah Wow.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan produk keluaran syarikat atau berminat menjadi pengedar boleh menghubungi di talian 013-720 6246 atau melayari laman sosial Facebook dengan carian Sawanah Wow.