KAMARI ZAMAN
KAMARI ZAMAN

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, sasaran itu selaras dengan keuntungan syarikat yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM39 juta, berbanding RM28 juta pada 2016.

“Dalam memastikan sasaran ini dapat dicapai, kami memfokuskan kepada tiga produk utama iaitu Ar-Rahnu, akaun simpanan Al-Wadi Hasanah dan keanggotaan individu serta koperasi persatuan.

“Kami juga menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan kepada komuniti, selain menawarkan produk perbankan yang kompetitif bagi meningkatkan kebajikan anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Maj­lis Rumah Terbuka Sambutan Aidilfitri Co-opbank Persatuan cawangan Kuantan di sini semalam.

Kamari Zaman berkata, setakat ini Co-opbank Persatuan mempunyai 80,000 ahli individu dan 650 koperasi dengan dua kategori pelanggan iaitu pengguna dan ahli.

“Kami juga dalam peranca­ngan meluaskan perkhidmatan dengan mencapai pelanggan di kawasan luar bandar.

“Ini termasuk membuka empat cawangan baharu di Temerloh, Pahang; Kuala Selangor, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor menjelang akhir tahun ini,” maklum beliau.

Pembukaan empat cawangan baharu itu akan menjadikan jumlah keseluruhan cawangan Co-opbank Persatuan sebanyak 24 berbanding 20 ketika ini.

“Empat cawangan baharu yang bakal dibuka ini menjadi penanda aras bagi syarikat kami dalam mencapai pertumbuhan yang positif, di samping membantu mencapai keuntungan bagi 2018.

“Dua cawangan di Batu Pahat dan Kuala Selangor dijangka mula beroperasi pada suku ketiga, manakala cawangan Temerloh dan Port Dickson akan dibuka pada suku keempat tahun ini,” ujarnya.

Kamari Zaman menambah, pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan perbankan ejen yang menawarkan perkhidmatan asas transaksi kewangan khususnya bagi pelanggan di luar bandar.

Ujar beliau, ia juga dijangka memperluaskan perkhidmatan bank bergerak serta kemudahan kad debit pada masa akan datang. – Bernama