Pada tahun kewangan 2017, pendapatan bersihnya meningkat sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM23.27 bilion, sementara keuntungan operasi praperuntukan naik 1.9 peratus kepada RM11.91 bilion.

Selain itu, keuntungan sebelum cukai melonjak 14.2 peratus kepada RM10.10 bilion dan keuntungan bersih naik 11.5 peratus kepada RM7.52 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias berkata, berdasarkan angka mutlak atau angka nominal, pihaknya akan menyaksikan tahun yang mencatat rekod tinggi.

Ini seterusnya, menurut beliau, akan diterjemahkan kepada agihan kepada semua pemegang kepentingan.

Katanya, Kumpulan akan memberi tumpuan ke atas angka dalam bidang utama tahun fiskal semasa bagi memastikan ia dapat mengekalkan laluan pertumbuhan yang kukuh dan menangani sebarang kemungkinan turun naik luaran.

“Kami akan berdisiplin dalam mengurus margin faedah bersih terutamanya dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat dan akan terus mengguna kan disiplin harga dalam pinjaman menerusi persekitaran Standard Pelaporan Kewa­ngan Malaysia yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Maybank di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Pada EGM semalam, pemegang saham Maybank meluluskan cadangan langganan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bagi bilangan saham yang diperbesarkan di Maybank Asset Management Group Bhd.

Ia melibatkan pertimba­ngan tunai sebanyak RM50 juta.