Timbalan Presiden Operasi Domino’s Malaysia dan Singapura Shamsul Amree berkata, memandangkan lebih daripada 50 peratus jualannya disumbangkan daripada pesanan dalam online maka syarikat sedang menyusun strategi untuk mengukuhkan segmen tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya sedang bekerjasama dengan penyedia platform pesanan secara online dan juga e-Dompet yang lain.

“Ketika ini, kami sedang memuktamadkan beberapa butiran terperinci termasuk menaik taraf platform pesanan dalam talian dengan memasukkan ciri-ciri baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk baharu Domino’s edisi terhad iaitu Pulled Beef dan Pulled Chicken di sini semalam.

Shamsul menjelaskan, Domino’s turut menyasarkan untuk membuka 300 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2020 dan bakal membuka 14 rangkaian baharu pada akhir tahun ini.

Selain itu, mengulas mengenai peningkatan gaji minimum kepada RM1,100 tahun depan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, Shamsul menjelaskan, ia akan membawa sedikit kesan kepada gaji kakitangan sambilan tetapi masih boleh disesuaikan.

“Apa yang kami bayar kepada pekerja kami adalah lebih tinggi daripada RM1,100.

“Oleh kerana kami menyasar untuk mempunyai 100 peratus pekerja tempatan pada akhir tahun depan, saya percaya gaji itu hanya akan membawa kesan minimum kepada operasi,” katanya.

Domino’s Malaysia memiliki kira-kira 5,000 kakitangan dan 226 cawangan di seluruh negara, termasuk tiga cawangan di Sabah.