Ketua Pegawai Teknologi Kumpulannya, Mohd. Suhail Amar Suresh berkata, setakat ini sebanyak RM19 bilion dalam nilai transaksi telah dicatatkan berbanding RM16 bilion pada tahun lepas.

“Segmen digital Maybank telah menunjukkan prestasi yang kukuh sejak tiga tahun lalu dengan kira-kira 48 peratus pelanggan kami aktif menggunakan platform digital pada masa ini.

“Sementara dari segi bilangan dan nilai bagi transaksi mudah alih pula, ia mencatatkan peningkatan pada kadar memberangsangkan iaitu melebihi 50 peratus sejak tahun 2015.

“Dengan pelbagai strategi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menambah baik pengalaman perbankan digital serta mudah alih pengguna, kami yakin dapat mengukuhkan segmen tersebut,” katanya pada sidang akhbar sempena sesi taklimat media berkenaan Hari Digital Kumpulan Maybank 2017 di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Michael Foong.

Sementara itu, dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan perbankan digital dalam kalangan pengguna, Mohd. Suhail Amar berkata, Maybank akan terus memberi fokus terhadap keupayaan baharu bagi memenuhi kehendak pasaran.

“Antara perkhidmatan dan ciri-ciri baharu yang akan dilaksanakan adalah pengecaman wajah dan suara, sejajar dengan perubahan gaya hidup pengguna masa kini.

“Dengan lebih banyak produk dan perkhidmatan perbankan tradisio­nal yang turut ditawarkan menerusi platform digital, kami menjangkakan lebih ramai pengguna akan menggunakan medium tersebut berbanding berkunjung ke cawangan-cawangan Maybank sebelum ini,” jelasnya.

Menurut data Maybank, pelanggannya menggunakan aplikasi perbankan mudah alih sebanyak 30 kali sebulan dengan 50 peratus daripada akaun baharu dibuka menggunakan saluran digital dan 74 peratus daripada pindahan baki dilakukan menerusi saluran tersebut.