MONKS
MONKS

Pengurus Besarnya, Michael Monks berkata, pihak­nya komited untuk melaksanakan pelbagai promosi dalam dan luar negara bagi mengekalkan pertumbuhan berterusan hotel tersebut.

“Pada tahun ini, kebanyakan pemain industri perhotelan mendapat manfaat daripada penganjuran pelbagai acara peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Para ASEAN serta persidangan-persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan 2018 akan menjadi satu tahun yang agak mencabar kerana tiada penganjuran acara besar-besaran selain persaingan sengit daripada hotel-hotel sedia ada dan baharu,” katanya dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Menurut Monks, antara strategi yang dilaksanakan oleh Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur bagi mendepani cabaran industri termasuk bekerjasama dengan rakan usaha sama di Asia Barat, China dan Jepun.

“Ia bertujuan mempromosikan hotel ini dalam kalangan pelancong, terutamanya China memandangkan Malaysia merupakan antara destinasi tumpuan penduduk dari negara berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai kelebihan yang dimiliki oleh hotel tersebut, Monks berkata, ia terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran dengan kemudahan pengangkutan Transit Ali­ran Ringan (LRT) dan pusat beli-belah Sunway Putra Mall, Pusat Dagangan Dunia Putra serta bangunan-bangunan pejabat.

“Ini memberi manfaat dari segi pelanggan bagi tujuan perniagaan, terutamanya yang mementingkan ciri-ciri sebegini dalam membuat tempahan penginapan mereka,” jelasnya.

“Bagaimanapun, kami terus fokus kepada pelanggan domestik menerusi pelbagai perkhid­matan lain seperti penganjuran acara di dewan-dewan besar kami serta dalam segmen makanan dan minuman,” katanya.