Pengurusnya, Rajesh Dashwani (gambar kecil)berkata, meskipun baru beroperasi pada 1 Oktober 2017, hotel suite sepenuhnya itu telah mencapai kadar penginapan purata kira-kira 80 peratus setakat ini.

“Meskipun baru dibuka selama tiga bulan, kami berjaya melepasi kadar penginapan 100 peratus pada Disember tahun lepas, didorong oleh sambutan parayaan Krismas dan Tahun Baru.

“Berbeza dengan kadar penginapan pasaran semasa iaitu antara 55 hingga 60 peratus, pencapai­an ini membuktikan kekukuhan jenama Ramada Suites KLCC dan perkhidmatan terbaik yang kami sediakan kepada tetamu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ditanya mengenai strategi bagi mengukuhkan jenama Ramada Suites KLCC pada masa akan datang, Rajesh berkata, pihaknya optimis untuk memberi fokus kepada kedua-dua segmen pasaran iaitu tetamu perniagaan dan percutian.

“Berbeza dengan kebanyakan hotel yang memberi fokus kepada segmen tertentu, Ramada Suites KLCC menerima kehadiran pe­ngunjung perniagaan pada hari bekerja dan pengunjung percutian pada hujung minggu.

“Dengan kemudahan yang memenuhi keperluan kedua-dua segmen ini, kami yakin akan te­rus menjadi pilihan pengunjung dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Tambahnya, antara faktor yang menjadikan Ramada Suites KLCC sebagai antara pilihan utama pengunjung adalah kedudukan strategiknya yang terletak berhampiran dengan kawasan tumpuan pelancong.

“Hotel ini terletak berhampiran kawasan Bukit Bintang, stesen monorel dan MRT, pusat hiburan, pelbagai pilihan makanan dan minuman serta pusat-pusat tumpuan pelancong, menjadikannya sebagai pilihan utama pengembara dari luar,” ujarnya.

Mempunyai sejumlah 108 bilik dalam jenis suite studio dan dua bilik tidur, Ramada Suites KLCC turut menyediakan kemudahan seperti kolam renang infiniti, gimnasium yang beroperasi 24 jam sehari, bilik mesyuarat, bilik seminar serta kemudahan mesin basuh layan diri.