Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sasaran itu disokong jualan memberangsangkan pada separuh tahun pertama 2019 iaitu sebanyak 121,800 unit, peningkatan empat peratus berbanding 117,100 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, dari Januari hingga Jun 2019, sebanyak 190,765 unit tempahan telah diterima iaitu peningkatan lebih tiga peratus berbanding 184,949 tempahan tahun lalu.

“Peningkatan permintaan bagi kenderaan Perodua dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan, melibatkan pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion.

“Berdasarkan ramalan untuk separuh tahun kedua, Perodua menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen bagi keseluruhan 2019 dan jumlah itu dianggarkan akan meningkat kepada RM6 bilion pada 2020,” katanya pada sesi Taklimat Prestasi Separuh Tahun Pertama 2019 Perodua di sini semalam.

Pada 2018, Perodua menjual 227,243 unit kenderaan yang mana jumlah tersebut merupakan rekod jualan tahunan ter­tinggi dalam sejarah syarikat tersebut.

Tambah Zainal, selari dengan peningkatan sasaran jualan, Pe­rodua turut menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran tahun ini kepada 249,000 unit, bersamaan pertambahan 2.9 peratus berbanding sasaran awal iaitu 242,000 unit.

Mengulas mengenai jumlah pengeluaran yang lebih tinggi daripada sasaran jualan, Zainal berkata, langkah tersebut me­rupakan strategi Perodua bagi mengurangkan tempoh masa menunggu untuk penghantaran kenderaan kepada pelanggan disebabkan paras stok semasa tidak mencukupi.

Dalam pada itu, Zainal berkata, Perodua memperuntukkan jumlah pelaburan 21.6 peratus lebih tinggi pada tahun ini iaitu sebanyak RM667.6 juta berban­ding RM549.1 juta tahun lalu.

“Pada 2019, Perodua telah memfokuskan pelaburan bagi mengembangkan aspek penyelidikan dan pembangunan de­ngan memasukkan teknologi baharu seperti sistem keselamatan canggih dan konsep mobiliti pintar,” ujarnya.