Aplikasi Sarawak Pay itu boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apple Store.
 
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, pelancaran aplikasi Sarawak Pay merupakan inisiatif terbaharu kerajaan negeri ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Menurut beliau, menerusi aplikasi itu, rakyat di negeri ini boleh membuat pembayaran bil utiliti kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Lembaga Air Kuching termasuk 26 bil taksiran membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kaedah pembayaran ialah menggunakan e-Wallet yang dilesenkan di bawah PaymentGalaxy®Wallet dan dikawal Bank Negara Malaysia (BNM) atau menerusi kad kredit atau perbankan internet.

"Inisiatif pelancaran aplikasi Sarawak Pay ini jelas menunjukkan usaha kerajaan negeri mahu mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada ekonomi digital sepenuhnya menjelang 2030," katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi Sarawak Pay di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. - K! ONLINE