Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, Malaysia juga inginkan ASEAN bergerak sebagai pasaran tunggal bagi aliran bebas barang, perkhidmatan dan pelaburan, ali­ran bebas modal dan kepakaran yang dibayangi oleh Komuniti Ekonomik ASEAN (AEC) 2025.

“Ini akan membenarkan ASEAN menggunakan sepenuhnya 640 juta penduduknya, yang mempunyai pasaran bersama AS$2.3 (RM9.59) trilion,” kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena Hari ASEAN di sini semalam.

Muhammad Shahrul menjelaskan, pada tahun ini, Thailand, sebagai pengerusi ASEAN telah menetapkan tema pelancarannya iaitu, Pusat ASEAN untuk Kajian dan Dialog Pembangunan Mampan.

“Ia akan menyediakan do­ro­ngan kukuh bagi menggalakkan kerjasama pembangunan yang mampan di rantau ini.

“Malaysia menyokong penuh tema Thailand. Bahkan Malaysia telah memulakan inisiatif kemampanan sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-11.

“Malaysia akan terus menyum­bang kepada inisiatif mampan sejagat dengan menggabungkan elemen pembangunan mampan ke dalam dasar dan strategi negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, pemba­ngunan mampan adalah satu isu bersilang dan merangkumi sektor yang luas, jadi penyelarasan dalam kalangan kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta dan komuniti tempatan amat penting.

“Kita dalam trek yang betul ke arah mencapai agenda pemba­ngunan kebangsaan dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 sejagat, katanya.

Muhammad Shahrul berkata, terdapat juga keperluan bagi ASEAN mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen, komuniti perniagaan, kumpulan belia, wakil pertubuhan masyarakat awam (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

“Hubungan proaktif ini akan membolehkan kerajaan memahami dengan lebih baik isu pen­ting dalam pelbagai perspektif. Ia membantu melenyapkan sebarang tanggapan bahawa ASEAN hanya milik elit politik,” katanya.