Indeks FTSE Bursa Malaysia jatuh sebanyak 1 peratus semalam untuk ditutup pada 1,692.32, menjadikan angka kejatuhan sebanyak 11 peratus sejak paras tertinggi dua bulan lepas.

Jatuh bagi sembilan hari berturut-turut, ukurannya menuju ke paras paling rendah sejak Februari 2017.

Menurut laporan Bloomberg, pencapaian saham Malaysia kini merupakan antara yang terburuk di dunia sejak April tahun ini.

“Pelabur asing yang cuba menyesuaikan dengan usaha perdana menteri baharu me­ngawal hutang kerajaan telah meninggalkan pasaran dengan menarik keluar wang daripada dana ekuiti pada setiap hari sejak awal Mei lalu.

“Penganalisis telah menurun­kan unjuran perolehan, meng­akibatkan Malaysia kini me­ngatasi Korea Selatan sebagai pasaran Asia Pasifik dengan unjuran keuntungan paling merosot tahun ini,” lapornya semalam.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pelaburan Standard Life Investment di Singapura, Christopher Wong berkata, ramalan jangka pendek ekuiti Malaysia kekal sukar sewaktu kerajaan baharu cuba mengenal pasti takat isu kewangan yang dihadapinya.

“Bagaimanapun saya menjangka keadaan lebih baik pada jangka pertengahan,” katanya.

Danny Wong dari Areca Capital pula berharap masa depan yang lebih baik.

Beliau menjangka anggaran pendapatan akan meningkat pada separuh kedua tahun ini berikutan polisi baharu mengenai pelaburan asing dan per­belanjaan kerajaan.