Ia disokong oleh kemajuan teknologi yang membolehkan budaya kerja yang fleksibel.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundi­ngan Knight Frank Malaysia, Judy Ong berkata, pejabat perkhid­matan dan segmen bekerja bersama semakin popular menerusi inisiatif yang dipimpin Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang membawa kepada pelancaran Hab Digital Malaysia dan Program Usahawan Teknikal Malaysia.

“Permintaan untuk pejabat dan ruang kerja bersama dijangka berkembang me­rentasi pelbagai industri dan profesion seperti teknologi permula serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam laporan Ringkasan 2017 dan Prospek 2018 yang dikeluarkan semalam.

Mengenai prospek harta­nah komersial, Ong berkata, permintaan terus positif terhadap ruang pejabat di lokasi terkemuka dan baharu di sepanjang laluan pengangkutan rel seperti Laluan Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Kajang dan sistem Transit Aliran Ringan serta komuter kendalian Keretapi Tanah Melayu.

“Pembangunan dan infrastruktur di kawasan kewangan antarabangsa yang akan datang, Tun Razak Exchange, dijangka memulihkan permintaan untuk ruang pejabat di bandar raya ini,” katanya.

Mengenai prospek harta­nah kediaman, Ong berkata, pembekuan ke atas empat komponen pasaran hartanah yang diumumkan baru-baru ini termasuk kondominium dan pangsapuri servis yang berharga RM1 juta ke atas dijangka meredakan sektor kediaman mewah.

Jelasnya, pemaju dijangka mengambil maklum kea­daan itu dengan mengkaji dan merancang semula cadangan produk selain menangguhkan pelancaran hartanah.

“Kami menjangkakan melihat unit yang lebih kecil pada harga yang lebih rendah iaitu kurang daripada RM1 juta seunit memasuki pasaran walaupun berkemungkinan akan mewujudkan risiko bekalan lebih banyak unit dalam kategori ini,” katanya. – Bernama