Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, sejak tiga tahun lalu, syarikat berkenaan membelanjakan antara RM4.8 bilion hingga RM4.9 bilion bagi tujuan berkenaan.

“Sekiranya permintaan terhadap kenderaan Pe­rodua terus meningkat, kami menjangkakan pembelian komponen dan alat ganti mungkin akan melepasi RM5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina bersama media dan rakan niaga syarikat tersebut di sini semalam.

Aminar Rashid menjelaskan, model-model kenderaan syarikat itu mempunyai lebih 90 peratus kandungan tempatan.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa Perodua mencapai jualan sebanyak 17,693 kereta pada Januari 2018.

Katanya, daripada jumlah itu, Myvi menyumbang sebanyak 9,029 unit, diikuti Axia (4,085 unit), Bezza (2,776 unit) dan Alza (1,803 unit).

“Ini sekali gus menjadikan bahagian pasaran Perodua meningkat kepada lebih 40 peratus, pa­ling tinggi dalam sejarah kami,” katanya.

Aminar Rashid berkata, berdasarkan anggaran Perodua, jumlah jualan industri keseluruhan pada Januari 2018 adalah 43,930 unit. – Bernama