Pada 6 petang, mata wang tempatan ditutup pada 3.9360/9400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras disaksikan kali terakhir pada Julai 2016, daripada 3.9540/9570 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata, peserta berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia minggu depan yang mungkin memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang kini berada pada 3.00 peratus.

“Cakap-cakap pasaran yang tersebar luas adalah bank pusat mungkin menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus selepas peralihan kepada kadar faedah tinggi semasa mesyuarat terakhir. Jangkaan kenaikan, telah mendorong belian ringgit sejak pagi ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Nota tempatan kukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9820/9869 daripada 2.9887/9912.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen kepada 3.5572/5617 daripada 3.5522/5553 pada Khamis manakala rendah berbanding euro kepada 4.8322/8387 daripada 4.8290/8339 dan lemah berbanding pound kepada 5.4742/4801 daripada 5.4731/4777. - Bernama