Pengarah Urusan, Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann juga menyifatkan ringgit tidak 'dinilai berlebihan' pada tahap ini dan masih perlu mencatat lebih banyak peningkatan selepas mengalami penyusutan secara ketara sejak dua tahun lepas.

"Kami juga positif terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2017 mencatat 5.9 peratus dan muncul sebagai ekonomi membangun ketiga terpantas di ASEAN selepas Filipina dan Vietnam," katanya pada taklimat media bersempena Forum Unjuran Asia dan Inisiatif 'Belt Road' (BRI) 2018 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Neumaan berkata, walaupun angka pertumbuhan KDNK kukuh susulan penyusutan nilai ringgit itu ternyata meningkatkan eksport, HSBC bagaimanapun mengunjurkan penurunan kecil KDNK pada 5.1 peratus tahun ini susulan kenaikan ringgit.

Merujuk Kadar Dasar Semalaman (OPR), Neumann menjangkakan pelaksanaan langkah tegas yang lebih menyederhana tahun ini dengan Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur melaksanakan hanya satu kenaikan kadar faedah tahun ini yang berkemungkinan besar pada Mac ini.

"Kenaikan lebih banyak tidak perlu bagi mengelak tekanan inflasi. Malah, kemungkinan untuk kenaikan berkenaan diumumkan minggu ini juga terlalu awal kerana bank pusat itu perlu menunggu lebih banyak data membabitkan inflasi," katanya.

Selain itu, Neumann berkata Malaysia perlu memanfaatkan BRI itu bagi mengambil peluang daripada pasaran China berikutan kedudukan negara itu sebagai pemacu enjin pertumbuhan Asia ketika ini serta bakal muncul sebagai ekonomi terbesar dunia menjelang 2024. - Bernama