Pengambilan untung dijangka berlaku selepas kadar peningkatan ringgit yang ketara berbanding dolar AS pada minggu pertama dagangan tahun ini.

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Dr. Kamarudin Mohd. Nor berkata, di sebalik jangkaan pasaran, permintaan terhadap mata wang tempatan akan disokong kukuh oleh beberapa pemangkin.

"Ia termasuk harga minyak mentah yang lebih tinggi, unjuran positif makroekonomi, prestasi dagangan luaran lebih baik, sentimen memberangsangkan dan kelemahan dolar AS," katanya kepada Bernama.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS kepada 3.9950/0000 daripada 4.0440/0500 minggu sebelum ini.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Nota tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0081/0123 daripada 3.0265/0323 dan meningkat berbanding yen kepada 3.5279/5333 daripada 3.5912/5968 minggu lepas.

Ringgit kukuh berbanding euro kepada 4.8116/8192 daripada 4.8495/5543 dan tinggi berbanding pound kepada 5.4048/5132 daripada 5.4602/4687 pada Jumaat minggu lepas. - Bernama