Dalam satu kenyataan, Kenanga Investment Bank Bhd. berkata, ringgit turut mendapat sokongan asas-asas yang kukuh serta sentimen positif ketika ini.

"Tanpa mengambil kira pengukuhan yang dinikmati ringgit baru-baru ini, ia sebaliknya dijangka berdepan risiko berikutan jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan melaksanakan sekurang-kurangnya tiga kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, tahun ini.

"Tambahan pula, kelemahan dolar AS ketika ini dijangka menjadi sebaliknya sebaik usaha pembaharuan cukai AS dilaksanakan dan memberi sokongan terhadap ekonomi dan mata wang negara itu. Ini bagaimanapun akan menjadikan ringgit lebih lemah berbanding dolar AS," katanya.

Sehubungan itu, ia mengunjurkan ringgit akan kembali ke paras 4.10 berbanding dolar AS selepas menguji paras 3.95 pada suku pertama 2018.

Sementara itu, RHB Research Institute Sdn. Bhd. yang menyamai pandangan Kenanga berkata, ringgit dijangka terus meningkat kepada 3.95 berbanding dolar Singapura menjelang akhir 2018 berikutan kelemahan dolar AS selain berlakunya lebihan dalam akaun semasa.

"Bagaimanapun, kelemahan ringgit itu masih ketara dalam jangka terdekat kerana pihak Fed masih menimbang melaksanakan tiga kenaikan kadar faedah selain terus mengurangkan lembaran imbangannya pada tahun ini.

"Selain itu, pegangan asing dalam instrumen pendapatan tetap masih ada di negara ini manakala harga minyak mentah pula tidak menentu," katanya. - Bernama