Pada pukul 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1390/1420 berbanding dolar AS daripada 4.1420/1470 semasa ditutup semalam.   

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, walaupun unit tempatan dibuka tinggi, pelabur terus berhati-hati berhubung kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed). 

"Pelabur memberi isyarat bahawa mereka menjangka Fed akan memberi tindak balas dengan dasar monetari yang lebih ketat," katanya kepada Bernama. 

Harga penanda aras minyak mentah Brent kini pada AS$79.56 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0170/0203 daripada 3.0104/0151 semalam dan naik berbanding yen kepada 3.7144/7181 daripada 3.7161/7210.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8149/8200 daripada 4.8018/8093 dan turun berbanding pound British kepada 5.3997/4049 daripada 5.3979/4060. - Bernama