Pada 9 pagi, ringgit berada pada 3.9020/9050 daripada paras penutup 3.9030.9060 pada Isnin.

"Pasaran kekal dalam dagangan jajaran dengan para pelabur sangat berhati-hati memandangkan mata wang pasaran sedang pesat membangun pulih semula. Data pekerjaan AS yang kukuh dengan penurunan inflasi gaji akan terus menjadi penyokong ringgit pada minggu ini," kata Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes kepada Bernama.  

Bagaimanapun, beliau berkata, potensi peningkatan ketegangan perdagangan masih lagi ada.

Memandangkan berita berterusan AS meningkatkan pengeluarannya minyaknya memberi tekanan kepada harga minyak, Innes berkata ringgit kurang mendapat sokongan daripada harga tenaga.

Sementara itu, unit tempatan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9732/9764 daripada 2.9678/9712 pada Isnin dan susut berbanding pound British kepada 5.4250/4311 daripada 5.4076/4122. Berbanding yen, ringgit turun kepada 3.6676/6715 daripada 3.6627/6666 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.8143/8184 daripada 4.8054/8095. - Bernama