Malah, unit tempatan itu terbukti melepasi paras psikologi  4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan setakat 3 petang ini, ia diniagakan pada angka tertinggi baharu 3.9940/9980 berbanding dolar, iaitu peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

Mengulas perkembangan itu, Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng berkata, paras semasa ringgit adalah paparan jelas pengukuhan ekonomi di peringkat global mahu pun domestik.

“Pertumbuhan yang kukuh serta harga minyak yang lebih tinggi ternyata mempengaruhi prestasi ringgit," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Untuk rekod, semalam harga minyak mentah diniagakan pada paras melebihi AS$67 setong iaitu paras tertinggi sejak 2015.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini mengumumkan eksport Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM83.50 bilion pada November 2017 iaitu nilai eksport bulanan tertinggi selepas RM82.62 bilion pada Mac 2017.

Mengulas selanjutnya, Kim Leng berkata, ringgit dinilai rendah untuk tempoh agak lama dan peningkatannya secara mendadak merupakan petunjuk berlakunya asas pelarasan.

“Kita melihat ringgit kini (bergerak) seiring mata wang rakan dagangannya ketika ini dan pembetulan (teknikal) dijangka menyusul dan pelarasan semula ringgit bagi memastikannya bergerak pada paras tukaran mata wang wajaran dagangan yang sebenar," katanya.

Awal minggu ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mempertahankan keputusannya untuk tidak melaksanakan tambatan ringgit dan bertumpu kepada usaha pengukuhan asas-asas yang akan mencerminkan nilai sebenar unit tempatan itu.

Jelas Perdana Menteri, terdapat dua faktor di luar kawalan kerajaan yang memberi kesan terhadap ringgit iaitu pertama, dasar negara maju terutamanya Amerika Syarikat dari segi kadar faedah dan kedua, kejatuhan harga minyak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia, Nik Ihsan Raja Abdullah menyifatkan ringgit mencatat aliran peningkatan yang amat memberangsangkan sejak akhir-akhir ini dan momentum itu berterusan sejak tahun lepas.

“Bagi jangka masa pertengahan, kita menjangkakan berlakunya peningkatan ketara manakala bagi tempoh terdekat ini ia diunjur menguji paras 3.9000 dan 3.8800 berbanding dolar, dipacu oleh kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Nik Ihsan berkata, kelemahan dolar bagaimanapun berkemungkinan 'dibantu' pengumuman data penggajian bukan perladangan AS yang disifatkan beliau tidak memberi kesan ketara terhadap ringgit.

Menurutnya, prestasi ringgit yang memberangsangkan itu adalah bersandarkan asas-asas kukuh yang terbukti menerusi data ekonomi positif dan angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mantap.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 6.2 peratus pada suku ketiga 2017 berbanding 4.3 peratus bagi tempoh sama 2016. 

Malaysia telah mencatat pertumbuhan KDNK 5.8 peratus dalam suku kedua dan 5.6 peratus pada suku pertama.

BNM pula sebelum ini menyatakan, bersandarkan prestasi kukuh yang berterusan pada suku itu, ekonomi Malaysia berada di landasan tepat untuk mencatat unjuran rasmi (pertumbuhan) dalam lingkungan tinggi pada 5.2 peratus hingga 5.7 peratus pada 2017, dipacu oleh permintaan domestik.

Nik Ihsan berkata, pihak seperti Rizab Persekutuan AS dan BNM berperanan penting menentukan kekukuhan serta kelemahan setiap mata wang dengan menaikkan atau mengurangkan kadar faedah yang boleh dilihat pada jangka masa pertengahan.

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini iaitu pada 4.0000/0030 daripada 4.0050/0080 sewaktu ditutup semalam. - Bernama