Pengarah Urusannya, Datuk Khairussaleh Ramli Kad berkata, ia adalah untuk tujuan pembayaran perniagaan yang dibuat kepada agensi kerajaan tempatan.

“Langkah ini merupakan inisiatif untuk mengurangkan pembayaran menggunakan cek dan tunai di agensi kerajaan utama termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kad baharu itu di sini semalam.

Kad MyDebit Korporat RHB akan membolehkan usahawan membuat pembayaran kepada agensi kerajaan melalui cawangan RHB di seluruh negara dan menyokong pembayaran elektronik sebagai pemangkin untuk meningkatkan produktiviti.

“Pelancaran kad ini sejajar dengan sasaran Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan penggunaan cek kepada 100 juta cek menjelang 2020 berbanding 205 juta cek pada tahun 2011,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Perbankan Runcit RHB Banking Group, Nazri Othman berkata, bank tersebut menerima 1.5 juta transaksi tunai dan cek bagi pembayaran perkhidmatan kerajaan pada tahun lepas, iaitu 290,000 transaksi disalurkan ke platform pembayaran digital dan tanpa tunai.

“Ini mengatasi sasaran dalaman kami untuk menukar 270,000 pembayaran kepada transaksi tanpa tunai,” katanya.