Realme adalah jenama teknologi telefon pintar berkualiti tinggi yang ditubuhkan pada 4 Mei 2018 oleh pengasasnya, Sky Li bersama-sama sekumpulan golongan muda yang mempunyai pengalaman dalam industri telefon pintar.

Pengurus Jenama Realme Malaysia, Tiffany Teh berkata, pemilihan kerjasama itu berdasarkan rekod baik yang dicatatkan Shopee sejak bermula dalam perniagaan e-dagang dan nilai persamaan yang dikongsi dengan menyasarkan golongan belia berumur antara 18 hingga 35 sebagai pembeli.

"Shopee berkembang dengan sangat pantas sepanjang tiga tahun dan kami yakin penjualan eksklusif Realme 2 Pro di platform Shopee akan melebihi jumlah sasaran," katanya ketika ditemui sewaktu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai syarikat yang masih baharu, Realme sentiasa mendekati golongan belia bagi mengetahui kehendak mereka dalam penghasilan produk yang memenuhi citarasa.

"Di India, kami sering menganjurkan acara di universiti-universiti dan melakukan penyelidikan pengguna bagi memahami cita rasa dari segi reka bentuk, warna, gaya hidup dan spesifikasi yang diperlukan dalam sesebuah telefon pintar kerana telefon adalah gambaran kepada karakter seseorang," katanya.

Jelasnya, untuk itu, Realme menghasilkan peranti yang memberi fokus kepada reka bentuk yang terkini, berspesifikasi tinggi dengan harga yang berpatutan bersesuaian dengan keinginan anak muda.

Katanya, siri Realme 2 telah mencatatkan penjualan sebanyak 200,000 unit dalam masa hanya lima minit sejak pertama kali dilancarkan pada September lalu.

Sementara itu, Pengurus Kategori Shopee Malaysia, Calvin Teng berkata, pihaknya berbangga dapat menjalin usahasama dengan Realme yang mempunyai strategi jelas dalam mengembangkan produk mereka ke seluruh Asia Tenggara.

"Realme sudahpun berjaya di India, Indonesia serta Vietnam, dan bagi pasaran Malaysia, kami yakin dengan kekuatan spesifikasi peranti Realme, ia mampu memberi saingan kepada jenama lain," katanya.

Jelas Calvin, Shopee sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada semua penjual dan ini memberikan keyakinan kepada mereka.

"Dengan kemahiran yang ada, kami yakin dapat membantu mereka dalam memasarkan produk masing-masing seterusnya meningkatkan jualan," katanya.

Realme 2 Pro akan dijual secara rasmi pada 11 November ini di 'Shopee 11.11 Big Sale'. Peranti ini mempunyai paparan skrin penuh dewdrop 6.3 inci dan dikuasakan oleh Snapdragon 660AIE sehingga 8GB RAM + 128GB ROM.

'Shopee 11.11 Big Sale' adalah jualan akhir tahun yang sedang berlangsung menawarkan promosi lebih besar dan menarik termasuk tawaran tanpa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada jenama terkemuka, dengan tawaran lebih 1,000 produk, kempen harian selama tiga minggu, penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM11.

Maklumat lanjut mengenai jualan itu boleh didapati dengan melayari www.shopee.com/1111atau muat turun aplikasi Shopee secara percuma di Apple App Store atau Google Play Store. - Bernama