Menurut Pengarah Urusannya, Kaoru Arai, sehingga 15 Ogos lalu, hampir dua juta mata Rakuten Trade (mata RT) telah ditebus oleh pelabur yang mengambil bahagian.

“Secara purata, seba­nyak 31,000 mata diberikan dan 25,600 mata ditebus oleh pelabur setiap minggu,” kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Sistem ganjaran unik Rakuten Trade telah menggabungkan tiga daripada penyedia program kesetiaan utama di negara ini iaitu AirAsia BIG, B Infinite oleh Berjaya Group dan BonusLink.

Program berkenaan telah berjaya menarik perhatian pelabur di bawah umur 40 tahun yang memanfaatkan platform perdagangan ekuiti digital sepenuhnya itu.

Arai menjelaskan, kerjasama ini telah membolehkan Rakuten Trade menawarkan ganjaran dan kempen inovatif kepada pelabur yang berusia antara 18 hingga 30 tahun

“Sistem ganjaran kami ter­nyata menjadi salah satu cara untuk platform kami terus menyerlah dalam industri pembrokeran ekuiti.

“Kami bercadang untuk me­ngukuhkan program kesetiaan ini sambil terus memberi tumpuan dalam menarik perhatian pelabur yang celik digital,” jelasnya.

Program kesetiaan Rakuten Trade membolehkan pedagang mengumpul mata RT secara automatik daripada aktiviti perdagangan, rujukan, pindahan saham dan juga kempen pemasaran.

Mata RT yang diraih kemudiannya boleh ditukarkan kepada mata AirAsia BIG, B Infinite atau BonusLink dengan nilai sama.