QSR Brands merupakan pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini dengan lebih daripada 1,080 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, manakala foodpanda adalah penyedia perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan terkemuka di Malaysia.

Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, kerjasama itu bakal melengkapkan perkhidmatan penghantaran KFC dan Pizza Hut sedia ada.

“Ia sekali gus dijangka meningkatkan jumlah cawangan penghantaran KFC dan Pizza Hut di negara ini kepada kira-kira 480 menjelang akhir tahun 2018 seterusnya berkembang kepada kira-kira 730 menjelang akhir tahun 2019.

“Ini adalah sejajar de­ngan strategi keutamaan pelanggan QSR Brands di samping memacu pertumbuhan yang menguntungkan buat KFC dan Pizza Hut serta foodpanda,” katanya dalam satu kenya­taan akhbar di sini baru-baru ini.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 320 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penghantaran menerusi rangkaian masing-masing.

Perkhidmatan foodpanda untuk KFC dan Pizza Hut akan bermula secara berperingkat mulai September depan di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dengan penghantaran 24 jam dari restoran KFC 24 jam terpilih akan turut disediakan.

Pelanggan boleh membuat pesanan penghantaran melalui saluran pelbagai KFC, Pizza Hut serta di platform foodpanda.