Buat masa ini, syarikat memiliki le­bih daripada 810 buah restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja selain merupakan pemilik francais kepada lebih 460 restoran Pizza Hut di Malaysia dan Singapura.

Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Kamil berkata, masih terdapat banyak potensi pertumbuhan yang boleh dimanfaatkan bagi kedua-dua jenama tersebut.

“Kami percaya peluang pertumbuhan masih terdapat di Malaysia, sehubungan itu, bagi tempoh tiga tahun akan datang, sebanyak 65 premis baharu untuk KFC dan 60 premis baharu Pizza Hut bakal dibuka.

“Jumlah ini tidak termasuk perjanjian kami bersama Petronas untuk membuka 50 premis baharu bagi KFC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kerjasama antara KFC dengan SOCAR di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR, Leon Foong.

SOCAR merupakan platform per­kongsian kereta dengan lebih 900 kende­raan untuk disewa pengguna di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru dari jenama Perodua sehingga kende­raan mewah se­perti BMW dan Mini Cooper.

Menerusi kerjasama tersebut, pe­langgan KFC dan SOCAR berpeluang menikmati pelbagai faedah dan diskaun sepanjang tempoh promosi yang bermula semalam sehingga 28 Februari tahun depan.

Antara yang menarik ialah pelanggan SOCAR akan menikmati diskaun 20 peratus bagi semua tempahan yang dibuat di 12 Zon SOCAR yang terletak di cawangan KFC dan pelanggan KFC Delivery online yang membuat perbelanjaan minimum RM40 bakal menikmati diskaun RM40 untuk tempahan SOCAR seterusnya.

Menurut Mohamed Azahari, pi­hak­nya merancang memperluaskan kerjasama tersebut untuk turut melibatkan jenama Pizza Hut pada suku pertama tahun 2019.

Selain itu, pihaknya menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak lima peratus bagi KFC dan Pizza Hut tahun depan.