Prafabrikasi kediaman merupakan pelbagai komponen utama pembinaan rumah seperti panel dinding. bumbung, lantai yang telah dihasilkan di kilang terlebih dahulu sebelum dipasang serta disatukan mengikut sistem binaan yang ditetapkan.

Proses pembinaan konsep ini lebih teratur, menjimatkan masa pembinaan, mengurangkan jumlah tenaga kerja dan menyediakan persekitaran yang lebih bersih.

Pengurus Besar Kumpulan Qicheng, He Yi Feng berkata, sebagai permulaan syarikat bakal melabur 10 juta yuan (RM6 juta) untuk projek pembukaan kilang sulungnya di Iskandar Puteri, Johor melalui anak syarikatnya, Qicheng Derui (M) Sdn. Bhd.

Menurut beliau, kilang seluas 80 hektar itu terdiri daripada kilang yang telah dibeli syarikat sejak dua tahun lalu dan akan beroperasi menjelang akhir tahun ini.

“Kami memilih Malaysia sebagai hab pengembangan pasaran di Asia Tenggara dan rantau lain kerana ia terletak dalam lokasi strategik, mudah menjalankan perniagaan di negara ini, tiada kekangan bahasa untuk berkomunikasi serta mudah mendapatkan bahan mentah bagi proses pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pe­rasmian kilang prafabrikasi terbaharunya di wilayah Gansu, Xi’an, China baru-baru ini.

Kilang yang bernilai 80 juta yuan (RM48.3 juta) itu merupakan premis ke-33 syarikat di seluruh China. Antara produk keluarannya ialah lantai dan juga panel dinding.

Qicheng merupakan sebuah kumpulan bersepadu di China yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam pengeluaran dan pemasangan rumah prafabrikasi bertingkat rendah, terlibat dalam kajian dan pembangunan, pengeluaran bahagian aksesori termasuk struktur besi dan komponen, panel dinding. dekorasi dalaman, panel purifikasi antikebakaran juga antiair.

Yi Feng menjelaskan, melalui pembukaan kilang baharu di Iskandar Puteri, syarikat optimis bahawa keluaran produknya yang berkaitan dengan komponen prafabrikasi kediaman bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di Malaysia kerana ia memiliki kelebihan dan keunikannya tersendiri untuk membina projek perumahan berkualiti pada kos yang lebih murah.

Menurut beliau, kilang tersebut bakal menawarkan lebih daripada 300 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri berkenaan.

Tambah beliau, untuk fasa seterusnya setelah kilang di Iskandar Puteri beroperasi, syarikat bakal melabur 10 juta yuan (RM6 juta) lagi untuk proses pengembangan operasi.

“Kami juga bercadang untuk membangunkan Bandar Pembinaan (Construction City) di Johor untuk pelan jangka panjang,” jelasnya.