Pengurus Negara Malaysia dan Brunei Qatar Airways, Datuk Muzammil Mohamad berkata, empat penerbangan se­minggu akan dilakukan mulai tarikh tersebut iaitu pada Selasa, Khamis, Sabtu­ dan Ahad.

Menurut beliau, mulai 27 Oktober pula, satu lagi perjalanan akan ditambah iaitu pada hari Jumaat menjadikan jumlah ke­seluruhan ialah lima pe­nerbangan seminggu dari Doha ke Langkawi.

“Qatar Airways akan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang boleh membawa le­bih 250 penumpang.

“Penerbangan ini akan terbang terus dari Doha melalui Pulau Pinang ke Langkawi

“Pesawat ini akan berlepas dari Doha pada pukul 2 pagi waktu tempatan dan akan tiba di Langkawi 5.05 petang, pesawat itu akan berlepas pulang dari Langkawi pada pukul 7 malam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Muzammil menjelaskan, promosi mengenai laluan terbaharu itu sudah giat dijalankan sejak April dan ia menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan.

“Jualan sudah bermula sejak April lepas, kami dapat melihat permintaan dan tempahan pener­bangan ke Langkawi amat memberangsangkan.

“Lebih menarik kami dapat lihat permintaan dari negara-negara yang berkemungkinan besar tidak pernah datang ke pulau ini.

“Qatar Airways terbang ke lebih 160 destinasi di seluruh dunia, apabila Langkawi sudah berada dalam laluan penerbangan syarikat ini, lebih ramai pelancong dari pelbagai negara boleh nampak seterusnya datang.

“Perjalanan juga lebih mudah, pelancong tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur dan tidak perlu tukar pesawat sebaliknya hanya sekali tukar di Doha dan terus terbang ke Lang­kawi,” katanya.

Mengenai sesi taklimat bersama 60 penggiat sektor pelancongan Langkawi semalam, Muzammil berkata, pihaknya me­nerima maklum balas yang sangat baik.

“Qatar Airways berharap dapat bawa lebih ramai pelancong dari luar negara ke Langkawi ke­rana kita terbang ke lebih 160 destinasi seluruh dunia,” katanya. – Bernama