Ketua Pegawai Pemasarannya, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, nilai unjuran itu bakal dipacu oleh pengenalan beberapa produk takaful baharu pada tahun ini, termasuk dua pelan perlindungan yang dilancarkan, PruBSN Setia dan PruBSN Impian.

“Produk perlindungan takaful ini bakal memenuhi keperluan dan kehendak setiap segmen pelanggan, termasuk kehendak kumpulan yang lebih khusus.

“Dengan itu, ia lebih mudah diterima oleh mereka, sekali gus mengukuhkan kedudukan PruBSN sebagai peneraju pasaran bagi syarikat takaful keluarga di Malaysia sejak tahun 2011 de­ngan penguasaan pasaran sebanyak satu pertiga daripada industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran PruBSN Setia dan PruBSN Impian di sini semalam.

Selain itu, mengenai kedua-dua pelan perlindungan tersebut, Wan Saifulrizal berkata, Pru BSN Setia disasarkan kepada pekerja yang ingin menaik taraf pelan perlindungan sedia ada mereka.

“Ia memberi peluang kepada pekerja untuk memanfaatkan pelbagai pilihan pelan tambahan dan meningkatkan jumlah perlindungan pelan takaful atau insurans asal mereka.

“Ia termasuk pelan tambahan perubatan, penyakit kritikal, kemalangan dan penggantian pendapatan,” jelasnya.

Selain itu, bagi PruBSN Impian pula, Wan Saifulrizal berkata, ia menyediakan ibu hamil de­ngan pelan perlindungan pranatal, perubatan, penyakit kritikal dan simpanan yang melindungi anak mereka seawal usia 14 ming­gu dalam kandungan hingga berumur 100 tahun.

“PruBSN Impian menawarkan dua pelan tambahan utama iaitu Infant Secure yang melindungi ibu dan bayi untuk komplikasi kehamilan terpilih serta kehila­ngan nyawa.

“Pilihan kedua ialah Takaful Saver Impian yang membina simpanan dalam pelan perlin­dungan bagi menyokong ke­perluan pendidikan serta membantu anak mereka mencapai setiap impian apabila dewasa,” katanya.

Kedua-dua pakej PruBSN Setia dan PruBSN Impian adalah berasaskan kepada pelan takaful utama, PruBSN AsasLink yang menyediakan manfaat kematian dan kehilangan upaya kekal serta menyeluruh bersama pilihan untuk pelan tambahan bagi memenuhi keperluan perlindungan pelanggan.