Ini membayangkan bahawa kedua-dua negara itu dijangka menjadi antara destinasi eksport pertama untuk kenderaan tersebut.

Enggan mendedahkan butiran mengenai rancangan eksport Proton itu, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Abdul Rashid Musa berkata, syarikat turut mendapat hak pembangunan teknologi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan pengeluaran daripada rakan strategiknya dari China, Zheijang Geely Holding Group Co Ltd. (Geely).

Beliau menjelaskan, langkah tersebut sejajar dengan perjanjian yang di­meterai antara DRB-HICOM Bhd. dan Geely iaitu Malaysia akan menjadi hab serantau pengeluar kereta dari China itu untuk teknologi RHD.

“Malaysia akan menjadi hab (untuk RHD) kerana Geely Group hanya mengeluarkan kereta dengan peman­duan sebelah kiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pratonton Proton X70 yang kedua di sini semalam.
Pada sesi itu, Abdul Rashid menjelaskan Proton X70 akan dilengkapi dengan Geely Smart Ecosystem, sistem interaksi kokpit pintar yang mempunyai monitor skrin sentuh lapan inci, arahan suara, sambungan telefon pintar, aplikasi infotainment dalam talian Android, teknologi over-the-air dan tetapan peribadi.

“Ia akan turut dilengkapi dengan ciri-ciri kawalan jauh yang membolehkan pemilik kereta memeriksa dan mengawal kenderaan itu di mana sahaja, pada bila-bila masa, melalui aplikasi mudah alih,” katanya. – Bernama