Kadar tersebut mewakili 14.5 peratus daripada bahagian pasaran walaupun ang­ka muktamad hanya dapat disahkan menerusi pengumuman data jualan industri oleh pihak Persatuan Automotif Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, susulan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 pada Disember lalu, perkembangan penghantaran model tersebut turut berjalan lancar.

“Selepas merekodkan pendaftaran SUV yang paling tinggi di pasaran tempatan dalam bulan pelancarannya, ia terus mengekalkan perkembangan hingga ke tahun baharu dengan 2,777 unit telah didaftarkan pada Januari lalu.

“Jumlah itu sekali gus meletakkan Proton X70 sebagai SUV segmen C paling banyak didaftarkan dalam tempoh sebulan. Ia merupakan pencapaian signifikan dan membolehkan syarikat mencatatkan pertumbuhan jualan memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut Chunrong, berbanding bulan sebelumnya, jualan meningkat sebanyak 33.6 peratus sementara bagi tahun ke tahun ia menunjukkan pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus berbanding Januari tahun lalu.

“Ia menjadikan Proton sebagai peneraju pasaran bagi kadar pertumbuhan untuk jenama automotif dan merupakan ketiga yang teratas.

“Kami juga berhasrat untuk mengekalkan momentum jualan menerusi tawaran promosi Ang Pow, pembeli kereta Proton boleh menikmati penjimatan sehingga RM4,000 bagi model kenderaan pilihan mereka,” ujarnya.

Selain itu, Proton kini mempunyai 74 pusat 3S (jualan, alat ganti, servis) dan 4S (jualan, alat ganti, servis, cat) di seluruh negara.