Naib Presiden Jualan dan Pemasaran, Abdul Rashid Musa berkata, sehingga kini, syarikat sudah meluluskan permohonan daripada 88 pengedar untuk proses pe­ningkatan ini.

Menurutnya, jumlah ini bersamaan dengan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan 109 pengedar yang disasarkan.

“Kami yakin, melalui projek menaik taraf ini, syarikat dapat menyediakan ruang servis dan jualan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kami memerlukan juruteknik berkemahiran untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan memandangkan kereta kami pada masa ini lebih canggih dengan ciri-ciri lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran pusat 3S baharu Proton di Jalan Kapar di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.

Pusat 3S baharu itu dikendalikan oleh Pantai Bharu Corporation Sdn. Bhd. dan ia be­roperasi dengan konsep pusat sehenti kepada pelanggan untuk perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti yang dilengkapkan dengan 12 ruang servis dan lapan pengangkat dengan ruang duduk untuk 35 pelanggan pada satu-satu masa.

Proton mempunyai 150 pengedar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Abdul Rashid menjelaskan, Proton mencatatkan pertumbuhan jualan bulan ke bulan yang baik sebanyak 50 peratus sejak Cukai Barang dan Perkhid­matan berkadar sifar pada 1 Jun.