Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Li Chunrong berkata, angka itu merupakan pencapaian sebanyak 85 peratus berbanding sasaran untuk menaik taraf sebanyak 109 cawangan pada Oktober tahun ini.

“Proton berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk membuktikan semula kehadirannya di pasaran.

“Kami yakin dapat mencapai peningkatan kelulusan seba­nyak 109 cawangan menjelang bulan Oktober, atau mungkin lebih awal dari yang dijangkakan,” katanya dalam satu ke­nyataan akhbar di sini semalam.

Menurut Chunrong, dengan apa yang dirancang hampir berjaya direalisasikan kini, pihak­nya percaya cawangan Proton telah bersedia untuk menerima kedatangan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton pertama di pasaran, serta model-model lain pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Chunrong kelmarin turut merasmikan pembukaan cawangan 4S salah satu pengedar Proton, Vantage Speed Sdn. Bhd. (Vantage Speed) yang terletak di Jalan Kebun, Klang, Selangor.

Menurut Pengarah Vantage Speed, Datuk Seri Tee Boon Kee, selain terletak di lokasi yang strategik, pihaknya juga mempunyai pasukan yang berkemahiran untuk mengendalikan cawangan itu, daripada jualan sehingga ke servis.

“Terdapat kakitangan khusus untuk memastikan pelanggan mendapat pengalaman yang baik dan menyeronokkan sepanjang mereka berurusan dengan kami untuk keperluan pembelian dan servis,” ujarnya.