Ia diperoleh hasil daripada 7,615 unit kenderaan Proton yang terjual pada Jun, ketika Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi bulan tersebut dianggarkan merosot sebanyak 30.8 peratus kepada 42,090 unit di­sebabkan cuti perayaan Aidilfitri.

Proton X70 terus menjadi pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen kende­raan utiliti sports (SUV) dengan 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan untuk separuh tahun pertama tahun ini.

Selain itu, model lain seperti Saga turut mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 27 peratus berbanding enam bulan pertama 2018 manakala model yang telah ditambah baik untuk 2019 iaitu Persona, Iriz dan Exora masing-masing menca­tatkan tempahan masing-masing sebanyak 108 peratus, 180 peratus dan 135 peratus le­bih tinggi berbanding sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong berkata, Proton terus menunjukkan pertumbuhan jualan yang positif bagi tahun ini meskipun keadaan pasaran yang sukar untuk jualan berikutan cuti hari raya.

“Pegangan pasaran Proton sehingga tahun ini berada pada 14.7 peratus dan ia merupakan peningkatan yang besar berbanding angka 2018 iaitu seba­nyak 10.8 peratus.

“Bagi separuh kedua 2019, kami akan menumpukan kepada peningkatan jualan dan memberikan lebih keterujaan kepada pasaran dengan memperkenalkan model-model baharu dan yang ditambah baik seperti dijanjikan pada awal tahun,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurut Chunrong, pertumbuhan jualan turut disokong melalui peningkatan bilangan rangkaian cawangan 3S dan 4S dengan 91 buah cawangan yang telah ditambah baik.

“Strategi kami untuk me­ningkatkan kehadiran Proton dengan meningkatkan jumlah cawangan 3S/4S dalam rangkaian kami bagi memastikan syarikat dapat memberi pengalaman jenama premium kepada semua pelanggan,” katanya.